KUALA LUMPUR – Pelbagai pihak hari ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan peserta Bersih 4 yang didakwa memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika perhimpunan itu berlangsung hujung minggu lepas.
Menyifatkan tindakan itu sebagai biadab dan tidak bermoral, mereka turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas ke atas individu yang berkenaan.
Ketua Penerangan Pemuda Umno, Jamawi Jaafar, dalam kenyataan medianya berhubung isu itu, menyifatkan tindakan sedemikian menunjukkan kerendahan akhlak individu terbabit.
“Provokasi ini akan menimbulkan keadaan yang tidak selesa kerana kedua-duanya mewakili dua parti Melayu dan Islam yang terbesar di Malaysia.
“Walaupun berbeza fahaman politik, tindakan sedemikian tidak boleh diterima kerana ianya menganggu keharmonian masyarakat berbilang bangsa,” katanya.
Justeru, Jamawi menggesa pihak polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku insiden tersebut agar perkara sedemikan tidak berulang.
Perbuatan keterlaluan beberapa individu yang melakukan aksi memijak gambar perdana menteri dan Abdul Hadi dirakamkan semasa perhimpunan itu dan mula menjadi viral menerusi media sosial tempatan.
Berkongsi pandangan yang sama, Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, tindakan itu, termasuk seorang wanita membawa pelekat tertera perkataan yang merujuk kepada kemaluan lelaki adalah amat tidak matang dan biadab.
“Bersikap kasar dan biadab bukan budaya kita. Bersikap provokasi tidak sesuai dengan rakyat Malaysia yang bersikap penyayang yang menghargai keharmonian dan muhibah politik yang telah terjalin dan dinikmati sejak merdeka 58 tahun lepas,” katanya.
“Lian Ker menggesa pihak berkuasa segera bertindak dan mengenal pasti individu terbabit untuk mengetahui niat sebenar mereka melakukan tindakan itu.
“Tindakan dan provokasi melampau mereka itu mungkin akan menyebabkan tindak balas dan menjejaskan kewujudan kita bersama yang aman dan harmoni.
“Beri kaunseling kepada golongan muda ini kerana terdapat banyak cara kreatif untuk menghantar mesej tanpa perlu mendoakan kematian, menghina atau menumpukan fikiran terhadap kemaluan,” katanya dalam kenyataan.
Presiden Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Mohd Syahbuddin Hashim pula menggesa penganjur Bersih 4 untuk segera tampil memohon maaf dan bertanggungjawab atas insiden tersebut kerana selaku penganjur, mereka gagal mengawal tindak-tanduk peserta perhimpunan tersebut.
“Walaupun Perlembagaan Malaysia memberikan kebebasan hak untuk bersuara dan hak untuk berhimpun, janganlah ia dicemari dengan provokasi melampau yang tidak mengambil kira sensitiviti sehingga boleh mencetuskan rasa tidak senang di kalangan rakyat,” katanya.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pula berkata, kalau perkara itu tidak dibendung dan diambil tindakan, dibimbangi generasi akan datang akan menjadi generasi yang kurang ajar dan biadab.
“Saya minta supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berdasarkan kelakuan yang tidak bermoral itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis peletakan batu asas Pasar Malam di Kuala Terengganu hari ini.
Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang memantau perhimpunan itu menyifatkan kepentingan dialog yang inklusif dan bermakna, terutamanya antara komander polis yang bertanggungjawab dan pihak penganjur telah memungkinkan perhimpunan itu berlangsung harmoni.
Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam turut melahirkan harapan supaya sebarang perhimpunan pada masa hadapan dapat dijalankan dengan cara sama. – BERNAMA
0 Response to "KURANG AJAR.!!! Kenapa perlu di pijak gambar tu??? Kenapa perlu di edit sedemikian rupa??? Jom baca apa niat sebenar mereka buat perkara bodoh ni. #update #viral #panas"
Post a Comment